Tuesday, February 9, 2010

jamak ketika hujan. siri (1)

Jamak Ketika Hujan : Antara 2 pilihan ( siri 1 )



Lama sudah terdetik dalam hati ini untuk menulis berkenaan solat jamak ketika hujan. Sebelum saya masuk kepada perbahasan, artikel ini masih lagi santai bertujuan membuka minda. Bagi yang ingin mengkaji lebih dalam selamilah khazanah turath ulama kita pelbagai mazhab.

Saya mulakan dengan kesimpulan ringkas terlebih dahulu dalam masalah ini:-

1.Ada yang berpendapat tidak wujud apa yang dinamakan sebagai jamak ketika hujan. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi.

2.Ada yang berpendapat, dibolehkan jamak ketika hujan dengan syarat-syarat yang ketat. Ini adalah pendapat jumhur ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

3.Ada yang berpendapat boleh melakukan jamak ketika hujan tanpa syarat.

Pendapat yang ketiga sangat syaz walaupun masih dibawah ijtihad ulama tertentu. Bukanlah begitu mudah untuk menyatakan bid’ah kepada mereka yang berpegang dengan pendapat ini. Namun yang menjadi masalah apabila mereka berkata:-

“ Kami lebih mengamalkan sunnah”

“ Ulama-ulama yang meletakkan syarat hanya pendapat mereka, sunnah tidak menyatakan demikian”

" Islam itukan mudah"

Baiklah jika ingin mengkaji tentang dalil sunnah. Kita akan membincangkan bersama, adakah pendapat ini benar-benar kuat?

Secara jelas tidak wujud hadith yang sorih ataupun jelas bahawa diharuskan jamak ketika hujan. Yang ada hanyalah beberapa hadith berikut:-

Hadith riwayat Ibnu Abbas:-
“Rasulullah S.A.W telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan.

Ibnu Abbas ditanya: Apa yang dikehendaki dengan yang demikian itu (mengapa Rasulullah melakukannya)? Dia berkata: baginda mahu memberi kelapangan (mudah) kepada umatnya”.

Kefahaman hadith ini:-

Jika nabi s.a.w. jamak ketika tidak hujan, maka ketika hujan tentulah dibolehkan jamak. Kaedah istidlal ini dipanggil mafhum mukhalafah. Kefahaman sebaliknya terhadap nas.

Penilaian :-
1.Hadith ini direkodkan oleh Imam Muslim. Terdapat 3 hadith yang serupa lafaznya. 2 hadith berbunyi “ tidak kerana ketakutan dan tidak kerana musafir” dan 1 hadith berbunyi “ tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan”. Ketiga-tiga hadith tersebut diriwayatkan oleh ibnu Abbas.

Maka tidak hairan lafaz yang berbunyi “hujan itu” syaz ( ganjil ) bertentangan dengan 2 riwayat yang tadi yang menyebut “ musafir”.

2.Dalam kaedah usul fiqh, kaedah pendalilan mafhum mukhalafah sangat lemah. Hadith tersebut tidak jelas hingga terpaksa ditafsirkan dengan mafhum mukhalafah ( kefahaman tersirat atau terbalik )

3.Hadith tersebut sangat mujmal ( tidak jelas ), perlukan penafsiran mengapakah Ibnu Abbas meriwayatkan lafaz tersebut. Apatah lagi bertentangan dengan banyak dalil yang lebih kuat dan jelas bahawa solat mestilah dilakukan pada waktunya :-

“Sesungguhnya solat adalah fardhu yang telah ditetapkan waktunya”. surah al-Nisaa : ayat 103.

Bersambung…

dipetik dari bayu timur

1 comment:

suaramu amat ku hargai